Wednesday, July 18, 2007

Sejarah Pengumpulan Al-Quran



Yang dikehendaki dengan pengumpulan Al-Quran itu ada dua :

Pertama : Mengumpul Al-Quran dengan cara mengahafaz
Kedua : Mengumpul Al-Quran dengan cara penulisan

Makna yang pertama itu adalah sebagaimana Jibril memperdengarkan Al-Quran kepada Rasulullah lalu baginda menghafaznya, kemudian baginda memperdengarkan pula kepada para sahabat dan sahabat menghafaznya.

Manakala makna yang kedua iaitu Rasulullah memperdengarkan Al-Quran kepada para sahabat, di samping itu juga Rasulullah mempunyai beberapa orang penulis wahyu, lalu setiap kali turun wahyu ke atas baginda, baginda memerintahkan para penulis agar menulis setiap wahyu yang diturunkan. Berdasarkan kepada makna yang kedua ini, pengumpulan Al-Quran telah berlaku dalam tiga peringkat :

Pertama : Pengumpulan Al-Quran pada zaman Nabi Muhammad S.a.w
Kedua : Pengumpulannya pada zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq
Ketiga : Pengumpulannya pada zaman Khalifah Uthman Bin 'Affan

Pentingnya Talaqqi

Talaqqi : iaitu mengambil Al-Quran (bacaannya) dengan cara berguru, dan disyaratkan guru itu mestilah mempunyai sanad yang sah dan bersambung hingga kepada Nabi Muhammad S.a.w. Sistem talaqqi ini adalah sangat penting demi memelihara Al-Quran agar tidak berubah samada dari segi kalimah-kalimahnya, lafaznya dan bacaannya.

Mengapa perlu talaqqi? Kerana itulah cara yang dilakukan oleh Rasulullah S.a.w sebagaimana yang telah diajarkan oleh Saiyidina Jibril 'Alaihis-Salam. Kemudian Rasulullah mengajarkan pula kaedah ini kepada para sahabat baginda. Para sahabat pula mengajarkan kepada para tabi'en, begitulah seterusnya hingga kepada tabi' tabi'en dan para ulama' salaf dan kholaf. Dengan cara bertalaqqi ini, kita akan dapat mempelajari setiap bacaan dan hukumnya secara terperinci, ini kerana apabila seseorang itu membaca dengan cara berguru, nescaya setiap kesalahan yang berlaku akan diperbetulkan oleh guru tersebut. Jadi setiap kali membaca, dan setiap kali ditegur akan bertambah baiklah bacaan kita dari sehari ke sehari. Oleh itu, pastikan setiap kali membaca Al-Quran, kita membacanya dengan baik dan betul, agar kita dapat menghayati setiap isi kandungan dan mu'jizat Al-Quran itu dengan sebenar-benar penghayatan dari hati yang bersih dan tawadhu' kepada Allah S.w.t.

Pembahagian Hukum Wajib Pada Ilmu Tajwid

Hukum wajib pada ilmu tajwid itu ada dua bahagian :

Pertama : Wajib Syar'ie (واجب شرعي) , iaitu apa yang dita'rifkan oleh ulama usul fiqh sebagai "sesuatu yang apabila dilakukan oleh orang yang mukallaf akan diberi pahala, dan jika meninggalkannya mendapat dosa".

Yang dikehendaki di sini ialah memelihara jauharah kalimah-kalimah Al-Quran dan huruf-hurufnya yang menjadi bina' kalimah, dan memelihara harakat huruf, tanda mati, sabdu, mad dan sebagainya yang mana perkara tersebut apabila ditinggalkan maka jadilah satu kesalahan yang besar, atau pun boleh mengubah makna kalimah tersabut.

Kedua : Wajib Sina'ie (واجب صناعي) , iaitu apabila dilakukan sesuatu perkara itu mendapat pujian dan jika meninggalkannya mendapat celaan dari ulama' tajwid.

Yang dikehendaki di sini ialah seperti membaca izhar pada hukum yang izhar, dengan ikhfa' pada hukum yang ikhfa', dengan idgham pada yang idgham, dan sebagainya. Inilah pendapat ulama' yang muta'akhirin dari kalangan ahli ada'. Antara mereka itu seperti Syeikh Mula Ali Al-Qari di dalam syarah Muqaddimah Al-Jazariyah.

Adapun ulama' yang terdahulu, mereka berpegang pada pendapat yang pertama sebagaimana yang telah diterangkan di atas. Maka mereka berpendapat bahawa memelihara setiap hukum bacaan Al-Quran (Tajwid) itu adalah wajib syar'ie yang mana jika dilakukannya akan diberi pahala, dan sebaliknya.

Kepentingan Ilmu Tajwid

Dalam membaca Al-Quran kita wajib membacanya dengan bacaan yang terbaik yang mampu kita laksanakan. Yang dikehendaki dengan bacaan yang baik itu ialah membaca Al-Quran dengan bertajwid, kerana Nabi Muhammad S.a.w telah mengajarkan Al-Quran dan membacanya secara bertajwid kepada para Sahabat, kemudian Tabi'in dan Tabi' Tabi'in, begitu jugalah para Salafus-Soleh.

Firman Allah Ta'ala : Surah Al-Baqarah [121] - (الذين ءاتيناهم الكتاب يتلونه حق تلاوته أولئك يؤمنون به)

Telah berkata Imam Al-Alusi tafsir bagi ayat yang di atas (sekira-kira kata beliau) : membaca Al-Quran dengan sebenar-benar bacaan, iaitu bacaan dengan sepenuh hati (tumpuan), membacanya dengan meraikan dhobt lafaz (ضبط اللفظ), dan taammul pada maknanya". Oleh itu yang dikehendaki dari ayat tersebut ialah membacanya dengan bertajwid, iaitu meraikan setiap baris huruf, sukun, baris atas, bawah, hadapan, tanwin, sabdu, izhar, ikhfa', iqlab dan sebagainya yang termasuk dalam "bertajwid". Maka kita dituntut agar membaca Al-Quran sebagaimana ia diturunkan kepada Nabi Muhammad S.a.w, samada dari segi lafaznya mahupun bacaannya.

Telah berkata Imam Al-Qurra' Ibnu Al-Jazari di dalam kitab Matan Toiyibatun Nasyr :

والأخذ بالتجويد حتم لازم * من لم يصحح القرءان ءاثم

لأنه به الاله انزل * وهكذا منه الينا وصلا


Membaca Al-Quran tanpa bertajwid seolah-olah mengubah terhadap apa yang diturunkan di dalam Al-Quran, dan mengubah setiap sesuatu yang ada di dalam Al-Quran itu adalah ditegah dan berdosa (berdasarkan kepada umumnya lafaz ayat Al-Quran). Maka membaca Al-Quran secara bertajwid itu sesuatu yang dituntut atau dengan ertikata wajib bagi orang yang hendak membaca Al-Quran itu membacanya dengan bertajwid, oleh itu barangsiapa yang tidak memperbaiki bacaannya ketika membaca Al-Quran akan berdosalah ia sekiranya tiada usaha untuk ke arah itu.

Perlulah diingatkan di sini bahawasanya ilmu tajwid itu tidak akan diperolehi melainkan dengan cara "Talaqqi Musyafahah", iaitu membaca Al-Quran dengan cara mempelajarinya dari syeikh yang mempunyai sanad bacaan Al-Quran yang bersambung sanadnya itu kepada Rasulullah S.a.w, kerana itu adalah cara pembelajaran yang dipelajari oleh Rasul kita dari Jibril 'Alaihis-Salam.

Ta'rif Al-Quran Dan Qiraat Serta Perbezaan Di Antara Keduanya

Al-Quran ialah "Kalamullah yang Qadim (Wahyu) yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad S.a.w dengan parantaraan Saiyidina Jibril dan membacanya merupakan suatu ibadah".

Qiraat (قراءات) adalah kalimah jama' dari (قراءة). Maknanya dari segi bahasa ialah "bacaan". Manakala dari segi istilah pula ialah "suatu ilmu yang membicarakan atau membahasakan tentang kaedah bacaan bagi kalimah-kalimah al-quran dan perbezaannya (bacaan) yang dinisbahkan kepada imam yang menaqolkan bacaan tersebut".

Al-Quran dan Qiraat pada hakikatnya adalah dua perkara yang berbeza, kerana Al-Quran itu ialah "wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhmmad S.a.w yang merupakan Mu'Jizat", manakala Qiraat pula ialah "perbezaan lafaz-lafaz wahyu (Al-Quran) atau kaedah membacanya dari segi takhfif (تخفيف) dan tasydid (تشديد), fatah (فتح) dan imalah (امالة) dan sebagainya. Perbezaan yang lain pula ialah "Al-Quran itu ialah Qiraat, akan tetapi tidak semua Qiraat itu ialah Al-Quran".

Ta'rif Tajwid

Makna (تجويد) dari segi bahasa ialah (تحسين) iaitu memperelok atau memperbaiki.

Manakala dari segi istilah syara' pula ialah mengeluarkan setiap huruf itu dari tempat keluarnya (مخرجه) dan memberikan setiap huruf itu akan haknya dan apa yg mustahak baginya (ومستحقه).

Yang dikehendaki dengan (حقه) itu ialah apa yang wajib baginya itu dari sifat-sifat yang lazim dan diketahui dari bab mengenai sifat-sifat huruf seperti isti'la', jahar, shiddah dan sebagainya. Manakala (مستحقه) itu ialah sifat-sifatnya yang mendatang dari sifat-sifatnya yang lazim
seperti izhar (من ءامن) , idgham (من يعمل) , ikhfa' (من قبل) , iqlab (من بعثنا) , ghunnah dan sebagainya.

Ilmu Tajwid

Ilmu Tajwid adalah merupakan suatu ilmu yang sangat berkait rapat dengan Al-Quran, kerana ilmu ini mengkaji tentang Al-Quran itu sendiri dari segi bacaan dan kaedah-kaedahnya. Ilmu Tajwid ini sangat penting kerana tanpanya kita tidak akan dapat membaca Al-Quran dengan baik dan sempurna, sedangkan kita dituntut bahkan disyari'atkan ke atas kita umat islam agar membaca Al-Quran dengan sebaik-baik bacaan.

Ilmu Tajwid ini bukanlah ilmu yang dicipta atau direka-reka oleh manusia, akan tetapi ianya adalah suatu ilmu yang datang melalui wahyu dari Allah S.w.t kepada Nabi Muhammad S.a.w. Kemudian Baginda mengajarkannya kepada Sahabat, Sahabat pula mengajarkannya kepada Tabi'en, kepada Tabi'e At-Tabi'en, sehinggalah sampai kepada kita melalui "Talaqqi Muasyafahah".

Firman Allah S.w.t :

Al-Muzammil : 3 : ( ورتل القرءان ترتيلا )

Berdasarkan ayat di atas, dapat kita ketahui bahawasanya wajib untuk kita membaca Al-Quran dengan "ترتيل" iaitu dengan bertajwid, sebagaimana diriwayatkan di dalam kitab-kitab tafsir : bahawasanya Sayyidina Ali R.A telah berkata : ( الترتيل تجويد الحروف ومعرفة الوقف ) .

Maka dengan ini jelaslah kepada kita bahawa Ilmu tajwid itu sangat penting untuk kita membaca Al-Quran dengan baik dan sempurna. Apabila baik bacaan kita, maka semakin baiklah penghayatan kita terhadap kandungan Al-Quran yang kita baca dan fahami itu.